Takaful Untuk Semua

animationmaa We Do What Is Right

Hari Kematian Kita

KHUTBAH JUMAAT
18 Mac 2005 / 7 Safar 1426 

TAJUK : Hari Kematian Kita
OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak
Hadirin yang dihurmati sekalian,
Berdirinya sekali lagi saya dimimbar mulia ini, adalah untuk memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan juga sidang jumaat yang dirahmati sekalian, supaya sama sama menjunjung perintah Allah SWT, yakni dengan melaksanakan segala apa yang diperentah dan meninggalkan segala apa yang ditegah, mudah-mudahan kehidupan kita di dunia dan di akhirat akan beroleh kejayaan. Di dunia sebagai insan beriman, di akhirat pula sebagai manusia yang menerima kemenangan.

Sidang jumaat yang dikasihi.
Setiap makhluk Allah dibekalkan nyawa untuk terus hidup di diatas dunia ini, dan setiap yang hidup pula akan menerima pula saat kematian mereka, sepertimana firmannya:


"Dimana sahaja kamu berada pasti maut akan mendatangi kamu, walaupun kamu berada dalam kubu yang kuat atau teguh"……..An-Nisa' ayat : 78

Hakikatnya setiap yang bernyawa pasti akan mati" Begitu juga tuan-tuan yang berada disini, atau anak isteri kita yang disayangi dirumah itu, pasti akan tibanya ajalnya masing-masing. Cuma setiap makhluk itu tidak diberitahu bila tarikh kematian sebenarnya mereka. Entah besok, atau lusa atau 10 tahun lagi atau 20 tahun lagi, tidak siapa yang tahu kecuali Allah jua. Tetapi yang pasti datuk nenek dan moyang kita telah pun mati, meninggalkan nensan batu sebagai monimen abadi, sebagai tatapan sejarah cucu cicit yang bakal menduduki bumi ini nanti, bahawa datuk kamu ini pernah mendiami alam dunia sejak dari dulu lagi. Kemudian seorang demi seorang dipanggil Ilahi untuk berhimpun mendiami diperut bumi sebagai penghuni Taman Kubur yang sepi. Datuk nenek tetap pergi, dan cucu cicit lahir silih berganti bakal menggantikan mereka sebagai penduduk dibumi ini. Malah ada diantara kita disini yang telah pun kematian ibu dan bapa yang disayangi, ataupun telah mengalami kematian orang yang lebih muda dari kita seperti kematian adik-adik ataupun anak anak cucu sendiri yang kita sayangi.

Kerana nyawa itu kepunyaanNya, maka Allah berhak mengambilnya kembali bila bila masa yang ditentukan, walaupun ketika itu kita masih diperlukan oleh anak isteri, masyarakat dan rakan-rakan. Allah tidak memilih umur, samada tua atau muda, status duda atau janda, kecil atau remaja. Malaikat Maut yang amat setia dengan tugasan yang diberi oleh Allah, akan merentap sesiapa sahaja tanpa rasa belas dan kesihan. Punca kematian, seperti barah usus, barah otak atau cedera parah, darah tinggi, kencing manis, denggi atau kemalangan ngeri adalah merupakan sebab musabab kenapa sesaorang itu mati menyahut panggilan Ilahi.
Mimbar hari ini terpanggil untuk kita sama menyorot andaian kejadian pengurusan jenazah pada hari kematian kita nanti. Mudah-mudahan sedikit sentuhan mampu membuat kita berfikir bahawa Mati itu adalah suatu perkara yang pasti.
Sidang jumaat yang dikasihi.

Satelah kita disahkan mati, telah menjadi mayat yang terbujur kaku. Jenazah kita akan diratapi oleh isteri dan anak-anak yang masih tidak mengerti, bahawa kematian itu kehendak Ilahi. Mereka seolah-olah hilang tempat pergantungan, hilang segala-galanya. Sepatutnya kita mengajar mereka apabila menghadapi kematian kita nanti. Jangan diratapi kerana budaya meratapi kematian adalah dilarang Nabi. mengakibatkan roh kita disiksa kerana rapatan dan tangisan mereka sendiri. Mereka perlu redzo dan merelakan kita pergi.
Kalau meninggalkan anak-anak yang mengerti, mereka akan membersihkan dahulu najis kita sebelum menggantikan persalinan pakaian yang baru, gigi palsu ditanggalkan, cincin perhiasan dicabutkan, mata yang terbuka dirapatkan, mulut yang ternganga mereka ikatkan. Kemudian mereka akan meletakkan kita ditempat yang tinggi, seperti diatas katil berkeadaan kaki menghadap ke kiblat. Mayat kita di qiamkan seperti orang sedang sembahyang. Mayat kita ditutupi dengan kain batik lepas panjang manakala muka ditutupi dengan selendang halus yang jarang, agar mudah kawan dan taulan menatapi kali terakhir wajah kita yang sudah tidak bernyawa lagi.

Katakan mayat kita terpaksa bermalam dirumah dan dikebumikan pada esok hari, maka waktu ini terdengar suara anak-anak, isteri jiran tetangga dan jemaah masjid atau surau dengan penuh syahdu membacakan ayat-ayat suci al-quran, walaupun sepanjang hidup ini, kita tidak pernah membaca Al-Quran untuk jenazah orang lain. Mereka mendoakan agar roh kita diterima Allah dan ditempatkan ditempat yang mulia. Tetapi tidak semua mayat dihormati sebegini. Kalau sepanjang hidup Masjid dan Surau tidak kita kunjungi, Datang setahun Cuma dua kali, tidak datang berjemaah setiap hari, tidak ambil tahu program dan aktiviti. tidak pernah hadir majlis ilmu, tidak kenal jemaah yang datang setiap hari, tidak kenal siapa pengerusi dan siapa bendahari, Hidup kita ditumpukan pada kerja kerja dan kerja. maka siapakah yang akan menziarahi mayat kita, untuk membacakan ayat-ayat suci ketika kita sudah terbujur kaku sebegini. Jangan harapkan anak bini kalian, kalau mereka selama ini tidak pernah membaca al-quran setiap hari, mereka tidak akan mampu membaca, kerana Quran itu boleh dibacai hanya pada orang yang membacanya hari-hari. Tersilap langkah anak-anak kita akan beredar jauh dan takut menghampiri jenazah kita sendiri. Membaca Al-Quran jauh sekali, malah mereka akan menjenguk dari jauh melalui celahan daun tingkap sekali sekali. Inilah harta peninggalkan kita, meninggalkan anak yang tidak memberi pulangan apa-apa. Mana kawan seperjuangan tuan-tuan yang setia bagai nak gila. Memancing bersama, bermain golf bersama. Kalau setia sepatutnya mereka mengambil cuti, menunggu mayat kita sambil tidak putus membacakan ayat suci, dan mengiringi jenazah kita sehingga selamat dikebumi. Oleh kerana mereka juga terlalu sebuk seperti kita, maka hanya pesanan SMS takziah sahaja yang mereka hantar kepada waris kita.

Sidang jumaat yang dirahmati
Esoknya mayat kita akan mula dimandikan. Dibawa beramai oleh sanak saudara ketempat pemandian mayat. Tak seorang dari anak kita yang berani memandikan mayat kita. Walaupun mempunyai sembilan anak lelaki yang berkedudukan dan berstatus tinggi. Mereka menyerahkan kepada orang lain untuk memandikan kita. Kita tidak dapat merasai gosokan lembut dan belaian dakapan kasih sayang dari anak anak kita sendiri, walaupun kita pernah memandikan mereka hampir beratus-ratus kali. Sayangnya mandi untuk kali terakhir pun gagal mereka sempurnakan. Ini lah waris waris yang kita tinggalkan. Mereka menyisih jauh jauh, malah masih boleh berfikir bagaimana boleh pulang segera kekota kerana mementingkan mesyuarat di pejabat. Tabiat mereka sama seperti kita juga yang lebih mementingkan kerja dari tanggungjawab keluarga.

Tuan-tuan sidang jumaat yang dihormati,
Salepas kita dimandikan, mayat kita akan dikafankan dengan sekurang-kurang 3 lapis kain balutan berwarna putih, bukan kain dari jenis sutera, sekadar RM2.50 semeter. Kerana yang elok adalah untuk orang yang hidup. Mereka akan meletakkan mayat kita di anjung rumah untuk disembahyangkan. Jenazah kita akan berasa bangga jika imam yang menyembahyangi mayat kita adalah anak kita sendiri, waris kita sendiri, kerana doa dari seorang anak amat makbul dari doa orang lain. Tetapi anak anak kita hilang ketika ini. Entah kemana mereka pergi. Untuk makluman tuan-tuan sekalian, bahawa ramainya jemaah menyembahyangkan jenazah sesaorang itu adalah mengikut rezeki masing-masing. Kalau kita mati di Makkah pada musim Haji atau Umrah, maka berjuta manusia akan menyembahyang mayat kita. Kalau mati dirumah, berkebetulan hari kerja dan kita bukan dari kalangan jemaah yang suka ke masjid atau surau, maka boleh dibilang dengan jari jemaah yang menyembahyang mayat kita. Kawan kita ramai yang datang menziarahi tetapi semuanya uzur beralasan seluar yang dipakai hari itu kotor. Kalaupun kita kaya dan mampu mengimpot jemaah dari luar, mungkin ramai yang hadir, tetapi ramai bukan kerana simpati, ramai kerana menanti salam yang berisi.

Setelah disembahyangkan, sampailah masa yang paling mengharukan ketika jenazah kita meninggalkan rumah yang tersergam indah, meninggalkan keluarga yang masih memerlukan kasih sayang kita, meninggalkan harta yang masih belum di faraidkan. Waris kita akan bangun dan berkara kepada hadirin yang hadir " Sebelum mayat ini diangkat pergi, ampunilah dosa-dosanya, dan jika ada beliau meninggalkan hutang walapun sesen sekalipun, hendaklah dihalalkan atau diberitahu kepada waris supaya hutang tersebut boleh dilangsaikan. Memang seperti keterangan hadis : 
" Bahawa roh seorang itu akan tergantung diawan awangan, sehingga hutangnya diatas dunia ini dilangsaikan " 
Selepas itu mayat kita akan diusung pergi dengan laju sekali untuk disemadikan dikubur yang sudah sedia menanti.

Hadirin sekalian,
Di tanah perkuburan ramai saudara dan rakan bersesak untuk melihat cara macam mana mayat kita dikebumikan. Mayat kita akan dibaringkan dengan mengiringi muka ke arah kiblat yakni arah tempat kita melakukan sembahyang lima waktu setiap hari. Walaupun kita tergulung dari orang yang lalai mengerjakan sembahyang namun pastinya muka tuan-tuan akan dihadapkan juga kearah kiblat. Kemudian mayat kita ditambus pergi, dipijak dipijak oleh waris dan rakan bagi mengemaskan lagi tanah itu agar tidak boleh diganggu oleh binatang lain. Jika kita melihat bahawa kerja mengkebumikan mayat ini sangat pantas sekali.

Setelah selesai, maka Imam akan membaca talkin, Bacaan ini adalah disunatkan kepada orang yang hidup bukan kepada mayat kita yang sudah berada 6 kaki diperut bumi. Imam akan berkata :
" Maha suci tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar amaran kepada orang yang masih hidup, bahawa sekalian makhluk Allah akan jahanam dan binasa. Insaflah wahai sipolan bin sipolan, ketika ini nama kita dan nama ibu kita akan disebut…bahawa Mati itu benar, soalan mungkar nangkir benar, bangun dari kubur kemudian dihidupkan semula juga benar, berkumpul dan berhimpun dipadang masyar juga benar, dihisab amalan dan dikira segala amalan kamu juga benar dan sesungguhnya tidak syak lagi bahawa kedatangan hari kiamat itu benar. Wahai sipolan, selamat tinggal kami ucapkan, sekarang kamu berada disempadan akhirat, meninggalkan segala kelazatan dan nikmat, sekarang tinggal didalam kubur yang sempit dan gelap, sehingga hari kiamat. Ya tuhan, kami serahkan jenazah ini untuk diperhitungkan, Mana yang baik dan mana yang jahat. Jasad kamu akan menjadi makanan cacing dan ulat. Sesungguhnya lautan pengampunan mu amat luas, Ampunilah sipolan ini.

Setelah majlis pengkebumian selesai, satu demi satu waris dan keluarga meninggalkan kubur kita yang masih merah ….meninggalkan kita bersaorang didalam tanah yang gelap gelilta, tiada berteman dan tiada cahaya, hanya berbekal amal dan iman. Tiga bulan kemudian kuburan kita dikunjungi lagi, waris-waris kita akan memacakkan batu nensan yang sudah sedia terpahat nama kita, tarikh lahir kita, dan tarikh kematian kita, sebagai tatapan anak cucu cicit yang akan datang. Maka berakhirlah sejarah hidup sementara kita diatas bumi Allah ini. Sebagai salah saorang dari berbiliun umat manusia yang pernah merasai nikmat dan kelazatan hidup diatas dunia ini, maka kita juga tidak terlepas dari dihitung juga akan kerja buat sepanjang tempoh kita mendiami diatas dunia ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...